mutakhir

Pengunjung pusat hiburan paling ramai ingkar PKPP [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengunjung pusat hiburan paling ramai ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam menyaksikan seramai 325 individu ditahan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka adalah antara 674 individu yang ditahan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

Menurutnya, kesalahan lain adalah tidak memakai pelitup muka (170), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (80), penjarakan fizikal (53), tangkapan pendatang asing tanpa izin (22), membawa penumpang lebih dua orang (7), menyalahguna pas sosial (7), premis beroperasi lebih masa (4), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPDB (4) dan premis beroperasi tanpa lesen (2).

"Daripada jumlah keseluruhan yang ditahan itu, 583 individu dikompaun manakala 91 individu direman.

"Operasi pematuhan yang dilakukan polis di seluruh negara itu memeriksa 3,263 pasar raya, 4,498 restoran, 1,478 penjaja dan 1,686 pasar awam. Turut diperiksa 3,043 tempat ibadah serta 1,343 tempat riadah," katanya dalam sidang media secara virtual mengenai pelaksanaan PKPP, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, menerusi Op Benteng pula seramai 80 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan selain merampas satu bot dan satu kenderaan darat.

"Daripada jumlah itu, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja berjaya menahan 23 Pati di kawasan hutan Pantai Pasir Logok, Felda Tenggaroh 12, Kota Tinggi, Johor kerana masuk ke Malaysia melalui jalan tidak diwartakan.

"Sebanyak 136 sekatan jalan raya operasi benteng juga dilakukan membabitkan polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem)," katanya.

Mengenai kuarantin wajib, katanya, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 46,247 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 68 hotel serta 17 premis lain.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 9,700 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 130 dihantar ke hospital untuk rawatan dan 36,417 dibenarkan pulang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: October 11, 2020 @ 5:36pm
    d