mutakhir

Jangan panik [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Polis menasihati orang ramai supaya tidak panik dengan pelaksanaan penutupan jalan dan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Penjara Reman Pulau Pinang, bermula tengah malam ini.

Ia berikutan penutupan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu hanya membabitkan kawasan penjara dan kuarters kakitangan Jabatan Penjara berkenaan sahaja.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penutupan jalan dan sekatan membabitkan tiga laluan dengan radius sejauh 1.68 kilometer.

Laluan berkenaan ialah Jalan Penjara manakala di Jalan Berek dan Jalan Lim Huat pula, penutupan hanya membabitkan sebahagian jalan berkenaan.

"PKPD ini membabitkan 2,298 banduan selain tujuh blok kuarters kakitangan dan lapan unit rumah pegawai membabitkan 610 individu. "Kerja penutupan jalan dan SJR bermula pada 12.01 tengah malam ini sehingga 11.59 malam 27 Oktober," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di kawasan berkenaan berkuat kuasa pada 15 Oktober susulan peningkatan kes positif Covid-19 membabitkan Kluster Penjara Reman di Penjara Reman Negeri Pulau Pinang dan Kuarters Penjara itu.

Mengulas lanjut Soffian berkata, PKPD itu membabitkan seramai 158 anggota bertugas iaitu 98 anggota polis dan Rela (24) manakala tentera dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) masing-masing sebanyak 18 anggota.

Katanya, penganjuran sebarang aktiviti di kawasan PKPD juga dilarang dan rumah ibadat juga akan ditutup.

"Kakitangan penjara dan penduduk yang terbabit tidak dibenarkan keluar dan masuk kecuali bagi kecemasan dan bekalan makanan akan dikoordinasikan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Timur Laut.

"Kita juga sudah memaklumkan penutupan pintu 6 Hospital Pulau Pinang (HPP) dan orang ramai yang berurusan di hospital terbabit boleh menggunakan pintu alternatif lain," katanya lagi.

Dalam perkembangan lanjut Soffian menafikan mengenai rakaman suara tular yang mendakwa terdapat 18 anggota polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang disahkan positif Covid-19.

"Tiada anggota (polis) yang positif, minta orang ramai berhenti menyebarkan maklumat tidak tepat itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 14, 2020 @ 7:17pm
    d