mutakhir

Labuan dikenakan PKPB mulai Sabtu ini

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Labuan bermula 17 Oktober hingga 30 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, sidang khas itu mendengar pembentangan dan cadangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan MKN Labuan mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di Labuan.

"Atas nasihat KKM, Sidang Khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB berkuat kuasa 17 Oktober 2020 sehingga 30 Oktober 2020.

"Bagi prosedur operasi standard (SOP) PKPB di Labuan, semua aktiviti ekonomi termasuk industri dan perkilangan adalah dibenarkan," katanya dalam sidang media maya, hari ini.

Menurutnya, antara SOP dipersetujui adalah bagi kawalan pergerakan ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempat jangkitan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Hanya dua orang sahaja yang dibenarkan untuk keluar dari rumah bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan serta keperluan lain.

"Individu berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

"Bagi kenderaan yang membawa pekerja adalah dibenarkan untuk beroperasi dengan pematuhan SOP," katanya.

Ismail Sabri berkata, pergerakan keluar masuk merentas negeri adalah tidak dibenarkan kecuali bagi kes kecemasan seperti sakit dan pengurusan jenazah di luar daerah tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak PDRM.

Selain itu, katanya, hanya pekerja yang mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan dibenarkan untuk tujuan bekerja dan menjalankan tugas, namun kerajaan menggalakkan sistem bekerja dari rumah.

"Bagi pergerakan udara melalui Lapangan Terbang Labuan, individu perlu mendapatkan kebenaran PDRM terlebih dahulu," katanya.

Sementara, perkhidmatan pengangkutan air, Feri RoRo, Feri Ekspres dan bot laju dibenarkan beroperasi sehingga jam 6 petang dengan kapasiti terhad berdasarkan penjarakan fizikal, pengosongan tempat duduk di antara penumpang.

"Perkhidmatan pengangkutan teksi air dan penambang dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang sahaja.

"Pergerakan bagi Sign On/ Sign Off industri perkapalan serta minyak dan gas dibenarkan beroperasi mengikut peraturan dan SOP semasa yang sedang berkuat kuasa," katanya.

Menurutnya, Lain-lain SOP PKPB adalah sama seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selain Sabah yang berakhir 27 Oktober.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 5:29pm
    d