mutakhir

Kampung Padang Che Mas, Baling dikenakan PKPB 18 hingga 31 Oktober [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 1,150 penduduk membabitkan 151 rumah di Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuatkuasa 18 Oktober hingga 31 Oktober ini.

Sehubungan perintah itu, tiada pergerakan keluar masuk ke kampung itu dan hanya dua orang saja wakil yang dibenarkan bagi setiap rumah untuk keluar mendapatkan bekalan makanan dan barang keperluan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara.

"Sidang khas hari ini mendengar cadangan MKN Kedah mengenai situasi di Kampung Padang Che Mas. Sehingga 12 Oktober, 236 individu disaring secara bersasar dan diberikan arahan kuarantin wajib selama 14 hari di rumah dan memakai gelang kuarantin.

"Daripada jumlah itu, 25 kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan lima keluarga dan 100 masih menunggu keputusan saringan.

"Sehubungan itu, sidang Khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Kampung Padang Che Mas berkuatkuasa 18 Oktober hingga 31 Oktober 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media maya hari ini berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-213 dan hari ke-129 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan.

Menurutnya, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain pergerakan terhad penduduk adalah penutupan sekolah dan pusat pengajian termasuk pondok pengajian.

"Semua aktiviti keagamaan di masjid, surau tidak dibenarkan kecuali laungan azan lima waktu dan solat fardu dengan jumlah enam jemaah termasuk bilal dan imam.

"Rumah ibadat bukan Islam turut tidak dibenarkan. Restoran, kedai, gerai makan dan kedai runcit dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga jam 8 malam.

"Pembelian makanan digalakkan secara penghantaran dan bungkus bawa balik," katanya.

Beliau berkata, kenderaan membawa barangan berkaitan rantaian makanan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Menurutnya, semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial, budaya, majlis rasmi, keramaian, kenduri dan sebagainya adalah tidak dibenarkan.

"Aktiviti perikanan, perladangan, pertanian dan penternakan dibenarkan. Maklumat lanjut boleh dirujuk di laman sesawang MKN," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 5:40pm
    d