mutakhir

Penduduk Kampung Padang Cik Mas akur

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Penduduk Kampung Padang Cik Mas, Pulai, di sini, akur apabila dikenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa Ahad ini sehingga 31 Oktober bagi menangani penularan Covid-19.

Seorang penduduk, Mohd Rosli Din, 56, berkata mereka sedia menerima segala arahan oleh kerajaan kerana ia membabitkan keselamatan membabitkan 1,150 penduduk daripada 151 keluarga.

"Saya akan patuh prosedur operasi standard (SOP) dan duduk di rumah sehingga keadaan kembali pulih.

"Ini soal keselamatan... jadi apa yang kerajaan arah semua penduduk kena patuh bagi memutuskan rantaian wabak yang berlaku di negara kita," katanya.

Penduduk lain Mohd Nor Sing Ramli, 63, berkata dia percaya tindakan diambil kerajaan mempunyai alasan dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Penduduk tidak boleh keluar masuk secara bebas di kampung ini dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kampung Padang Cik Mas, Pulai di Baling berkuat kuasa 18 Oktober hingga 31 Oktober ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini berikutan seramai 236 individu disaring secara bersasar dan diberikan arahan kuarantin wajib selama 14 hari di rumah dan memakai gelang kuarantin setakat 12 Oktober lalu.

Daripada jumlah itu, 25 kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan lima keluarga dan 100 masih menunggu keputusan saringan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 16, 2020 @ 7:27pm
    d