mutakhir

4 rumah di Rembau dikenakan Temco

Oleh Mohd Amin Jalil

Rembau: Empat rumah di Kampung Nerambai, Lubuk China, dekat sini, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar (Temco) bermula 4 petang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Daerah Rembau Mohamad Najib Mustafa berkata, perintah itu dikenakan terhadap 10 individu dalam pemantauan (PUS) membabitkan empat rumah sehingga keputusan ujian calitan Covid-19 kedua diketahui Isnin ini.

Katanya, penghuni empat kediaman berkenaan adalah kontak rapat dengan lapan sekeluarga yang positif Covid-19, baru-baru ini.

"Sepanjang perlaksanaan Temco berkenaan, tidak dibenarkan kesemua PUS keluar dari lokasi Temco dan semua keperluan seperti makanan akan disediakan JPBD melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Sekiranya keputusan kedua calitan Covid-19 negatif, Temco di kawasan ini akan berakhir dan sekiranya positif, individu berkenaan akan dijemput oleh kakitangan kesihatan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, lapan sekeluarga di Kampung Nerambai disahkan positif Covid-19 dan difahamkan jangkitan adalah daripada seorang ahli keluarga wanita yang baharu pulang dari Labuan, Sabah dan ada majlis kenduri dianjurkan awal bulan ini.

Dalam pada itu, Mohamad Najib berkata, kawasan yang terbabit ketika ini dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) sambil dipantau anggota polis bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk di kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 17, 2020 @ 8:31pm
    d