mutakhir

Cari pasal dengan polis [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki yang tidak memberi kerjasama ketika pemeriksaan dilakukan menyebabkan dia ditahan dalam Operasi Khas Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangsar, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin @ Hilmi berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan kerana menghalang tugas anggota polis yang melakukan pemeriksaan prosedur operasi standard (SOP) di sebuah premis perniagaan.

"Ketika diperiksa, lelaki itu mempersoalkan dan menghalang anggota polis yang menjalankan tugas pemantauan SOP PKPB.

"Perbuatan lelaki itu yang tidak memberikan kerjasama menyebabkan kami menahannya untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu semalam.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 7 malam itu, sebanyak lima individu dikenakan kompaun ketika pemeriksaan dilakukan di beberapa premis di Bangsar kerana didapati tidak mematuhi SOP PKPB seperti tidak memakai pelitup muka.

Zairulnizam berkata, sebanyak 134 kompaun dikeluarkan di Brickfields termasuk 70 kompaun membabitkan kesalahan direkodkan di Bangsar sejak 1 Oktober lalu.

"Kami mempunyai 26 pasukan pemantau membabitkan tujuh balai polis yang melakukan pemeriksaan serta pemantauan pematuhan SOP PKPB di daerah ini.

"Hasil pemantauan dilakukan sejak 1 Oktober lalu kami mendapati bahawa 95 peratus individu di daerah ini mematuhi SOP PKPB," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengadakan sekatan jalan raya (SJR) secara statik berhampiran Balai Polis Sentosa yang bersempadan dengan Petaling Jaya, Selangor sejak PKPB dilaksanakan pada 14 Oktober lalu.

"Selain itu, kami juga juga mengadakan dua SJR mudah alih di daerah ini, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB ini.

"Justeru, saya berharap orang ramai menjaga kebersihan dan mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa seperti memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.

"Ia bagi membolehkan matlamat utama kita untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 berjaya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 11:07am
    d