mutakhir

Pemantauan pematuhan SOP di Taiping diperketat

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Taiping: Polis memperketatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 di mukim Taiping yang kini berada dalam zon merah.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping mempunyai lima pasukan bertindak yang melakukan pemantauan setiap hari khususnya pada waktu malam.

"Kalau boleh kita tidak mahu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan kerana ia bukan saja menyusahkan petugas barisan hadapan malah semua pihak termasuk orang awam," katanya dalam sidang media Operasi Bersepadu Task Force Covid-19 di IPD Taiping, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Persekitaran Pejabat Kesihatan Larut Matang dan Selama (LMS), Noor Azni Mohd Arshad.

Osman berkata, dalam operasi dianggotai 35 petugas daripada IPD Taiping, Pejabat Kesihatan Daerah LMS serta Majlis Perbandaran Taiping itu, seramai 10 individu termasuk dua pemilik premis dikompaun dengan sebahagian besar daripada kesalahan yang dilakukan adalah tiada penjarakan fizikal.

Menurutnya, kompaun atas kesalahan tidak menjaga penjarakan fizikal dikeluarkan terhadap enam individu yang duduk semeja ketika mengunjungi sebuah pub di Taiping Centre Point, Jalan Susur Larut.

Katanya, kompaun dilakukan mengikut Peraturan 10, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No 7) 2020 yang boleh dihukum mengikut Peraturan 11(1) Peraturan yang sama.

Sementara itu, Osman berkata, buat masa ini, tiada keperluan bagi pihaknya mengadakan sekatan jalan raya (SJR) secara statik susulan zon merah yang diisytiharkan, sebaliknya hanya mengadakan SJR secara bergerak.

Katanya, biarpun PKPD selama dua minggu dikuatkuasakan di dalam Pusat Koreksional Kamunting, di sini, sejak 16 Oktober lalu, SJR secara statik hanya dibuat di dua lokasi iaitu Kuala Sepetang dan Terong bagi memantau kemasukan warga asing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 11:57am
    d