mutakhir

Mesyuarat khas bincang kerja dari rumah atau pejabat

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sebarang keputusan berhubung tindakan membenarkan pekerja sama ada terus bekerja di pejabat atau rumah akan diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan membawa isu itu ke dalam mesyuarat khas berkenaan susulan tiga kluster baharu yang dilaporkan di Lembah Klang berpunca dari tempat kerja.

Menurutnya, walaupun di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dibenarkan pergerakan pekerja untuk bekerja di pejabat atau sektor ekonomi namun kerajaan memohon majikan supaya membenarkan mereka ini boleh bekerja dari rumah.

"Tetapi sekarang sudah berlaku kes Covid-19 di tempat kerja, jadi saya akan bawa isu ini dalam mesyuarat khas MKN dipengerusi Perdana Menteri.

"Apa tindakan seterusnya bagi pekerja sama ada boleh terus bekerja di pejabat atau tidak akan diputuskan nanti dan kita serah pada perbincangan dalam mesyuarat itu nanti," katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, dia mengharapkan sebelum sebarang keputusan dibuat majikan membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah.

"Ia bagi menjaga keselamatan pekerja di dalam syarikat terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 18, 2020 @ 5:07pm
    d