mutakhir

Warden penjara positif Covid-19 [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Nibong Tebal: Seorang warden di Penjara Seberang Perai, Jawi di sini disahkan positif Covid-19, sekali gus menjadikan dua pegawai di penjara itu dijangkiti wabak berkenaan.

Pengarah Penjara Seberang Perai, Zulkifli Abdul Manah berkata, dua pegawai itu bertugas menjaga sekumpulan banduan yang ditempatkan di blok baharu yang mana terdapat banduan disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

"Selepas terdapat banduan disahkan positif Covid-19, ujian saringan dilakukan terhadap pegawai yang bertugas di blok itu dan setakat ini dua dijangkiti wabak berkenaan.

"Kedua-dua mereka kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjalankan ujian saringan Covid-19 terhadap dua keluarga pegawai terbabit yang tinggal di kuarters penjara di situ.

"Setakat ini keputusan ujian saringan keluarga pertama disahkan negatif dan kini kita sedang menunggu keputusan keluarga pegawai ke dua," katanya.

Sebelum ini, seramai 384 pegawai dan kakitangan di Penjara Seberang Perai menjalani ujian saringan Covid-19.

Setakat ini hanya dua daripada mereka disahkan positif manakala yang lain akan menjalani ujian saringan kedua dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, setakat ini, seramai 70 banduan yang baharu dijatuhkan hukuman dan dimasukkan ke penjara berkenaan disahkan positif Covid-19.

"Terdapat kira-kira 700 banduan baharu dan semua mereka diasingkan daripada banduan lama bagi memastikan tiada penularan wabak Covid-19.

"Pada masa sama, kita juga menyediakan satu blok sebagai wad rawatan untuk banduan yang positif Covid-19 dan satu lagi blok untuk mereka yang sudah pulih.

"Kesemua mereka yang dijangkiti Covid-19 berada dalam keadaan stabil," katanya.

Semalam, Kluster Penjara Jawi merekodkan pertambahan 18 kes menjadikan keseluruhannya sebanyak 72 kes positif Covid-19 dilaporkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 4:49pm
    d