mutakhir

Belum putuskan PKPB tamat atau sambung [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kerajaan belum memutuskan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah akan dilanjutkan atau sebaliknya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu bergantung kepada situasi semasa penularan Covid-19 di kawasan terbabit.

"Tapi apa yang boleh membantu untuk mempercepatkan PKPB tamat adalah tuan-tuan dan puan-puan (masyarakat).

"Jika terus patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) dan mengamalkan kawalan kendiri serta patuh kepada aktiviti dibenarkan, mungkin kawasan diisytihar PKPB akan ditamatkan dan semua mendapat kebebasan semula walaupun masih tertakluk kepada SOP PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan).

"Kita yang mempunyai kuasa mengubah status PKPB kepada PKPP," katanya dalam sidang media hari ini.

Ditanya sama ada beliau mengisytiharkan PKPB di Melaka seperti tular di media sosial, Ismail Sabri menafikan perkara itu dan berkata ia berita palsu.

Beliau berkata, Melaka masih berada dalam zon kuning dan tiada keperluan untuk diisytihar PKPB.

Menurutnya, orang ramai hanya perlu mengikuti perkembangan diisytiharkan beliau dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilantik sebagai jurucakap mengenai hal kesihatan serta bukan kesihatan berkaitan Covid-19.

"Selain itu semua berita dikeluarkan adalah palsu.

"Saya harap orang ramai lebih berhati-hati dan semak kesahihan sebelum sebar berita kerana penyebar berita palsu juga boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 6:32pm
    d