mutakhir

Tutup surau, pusat khidmat pelanggan di R&R - PROLINTAS

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur dan Selangor, Kumpulan Syarikat PROLINTAS (PROLINTAS) menutup beberapa kemudahan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta hentian sebelah lebuh raya seliaannya.

PROLINTAS menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kemudahan yang ditutup adalah pusat khidmat pelanggan dan surau di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) serta Lebuhraya Kajang SILK (SILK) dan penutupan itu dijadualkan berakhir 27 Oktober ini.

"Bagi pengguna yang ingin melakukan tambah nilai adalah dinasihatkan supaya menggunakan mesin layan diri yang ditempatkan di beberapa kawasan sepanjang lebuh raya PROLINTAS.

"Selain itu, pengguna juga digalakkan melakukan transaksi tambah nilai menerusi e-wallet," menurut kenyataan itu.

PROLINTAS berkata, bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, gerai makanan di kawasan R&R Elmina (arah selatan) GCE kini beroperasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Antaranya mengehadkan kepada dua orang bagi setiap meja selain menggalakkan pengguna untuk beli dan membawa pulang makanan," katanya.

Katanya, PROLINTAS mempunyai lebih 200 petugas yang berkhidmat di lebuh raya seliaannya sepanjang tempoh PKPB sekali gus memastikan kelancaran operasi serta komited untuk bersama-sama memerangi pandemik Covid-19.

"PROLINTAS menasihatkan pengguna untuk kekal tenang dengan mematuhi SOP yang ditetapkan seperti melakukan pemeriksaan suhu badan, mendaftarkan diri menerusi aplikasi MySejahtera, memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal dan mencuci tangan dengan cecair anti kuman yang disediakan di seluruh premis lebuh raya PROLINTAS," katanya.

PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 20, 2020 @ 8:23pm
    d