mutakhir

BDR: Gaji pekerja dibayar seperti biasa

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) menegaskan bayaran gaji pekerja yang bekerja dari rumah (BDR) adalah seperti biasa.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, selain itu, majikan juga tidak boleh memaksa atau mengarahkan pekerja menggunakan cuti tahunan atau mengambil cuti tanpa gaji.

Katanya, perkara itu selaras dengan perintah dan kenyataan yang dikeluarkan oleh KSM ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

"Namun begitu, majikan boleh berbincang dengan pekerja dalam apa jua tindakan serta keputusan yang diambil demi kepentingan bersama," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melalui talian 03-88862352,03-88862409 atau 03-88889111.

Arahan ini susulan daripada sidang media, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Oktober lalu dan juga kenyataan media Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa pekerja di kawasan yang diisytiharkan terbabit dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diarahkan untuk BDR dengan syarat tertentu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 3:08pm
    d