mutakhir

44 kompaun dikeluarkan, gagal patuh SOP PKPP [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polis mengeluarkan sebanyak 44 kompaun ke atas premis dan individu kerana pelbagai kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di daerah ini sejak September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Superintendan Lee Swee Sake berkata, tidak memakai pelitup muka antara kesalahan tertinggi yang direkodkan.

"Tidak memakai pelitup muka tertinggi direkodkan dan ikuti gagal mematuhi penjarakan fizikal dan tiada pendaftaran menerusi aplikasi MySejahtera," katanya kepada pemberita selepas menyertai Program Pemantauan dan Pemeriksaan SOP PKPP PDRM Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini, hari ini.

Lee berkata, kebanyakan kompaun itu dikenakan ke atas pemilik premis yang gagal merekodkan butiran pelanggan dan tiada penjarakan dua meter antara meja pelanggan.

Menurutnya, keseluruhan sebanyak 85 premis dikenakan kompaun dalam tempoh sama.

"Sebanyak 44 kompaun oleh polis manakala Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masing-masing dengan 37 dan dua kompaun," katanya.

Beliau berkata, operasi yang diadakan itu bukanlah bertujuan mencari kesalahan sebaliknya memberi kesedaran kepada orang ramai kepentingan mematuhi SOP.

"Apa yang penting, kita mahu mengembalikan semula daerah Ipoh ini kepada zon hijau selepas diisytiharkan zon kuning ekoran pengesanan kes positif Covid-19 di sini," katanya.

Katanya, bayaran kompaun boleh dilakukan di Pejabat Kesihatan Daerah Kinta dalam tempoh dua minggu.

"Kegagalan membayar kompaun akan menyebabkan tindakan mahkamah diambil ke atas mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 6:31pm
    d