mutakhir

Guna elektrik dengan cekap ketika BDR

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna mengamalkan beberapa panduan penggunaan elektrik yang cekap bagi mengelak pembaziran berikutan pematuhan arahan kerajaan bekerja dari rumah (BDR).

Bermula 22 Oktober lalu, kebanyakan warga kerja di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mula bekerja dari rumah seiring pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

TNB menerusi satu kenyataan semalam berkata, berdasarkan perintah untuk bekerja dari rumah penggunaan elektrik isi rumah mungkin meningkat daripada kebiasaan berikutan lebih masa dihabiskan di rumah.

"Dalam kesibukan kita bekerja atau belajar secara maya sepanjang tempoh ini, banyak peluang yang boleh diambil bagi menggunakan elektrik secara berhemah dan mengelak pembaziran.

"Justeru, TNB menasihatkan pengguna agar mengamalkan beberapa panduan penggunaan elektrik yang cekap seperti mematikan komputer dan cabut suis selepas selesai menggunakannya.

"Sekiranya mengecas komputer riba, matikan suis apabila selesai mengecas dan pastikan juga semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik," katanya.

Selain itu, TNB menyarankan menggunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi (antara 24 ke 26 darjah Celcius) bagi menjimatkan tenaga serta membersihkan penapis pendingin hawa untuk memaksimumkan proses penyejukan.

"Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

"Elakkan juga mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan sekiranya perlu dan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh.

"Bagi mengurangkan penggunaan pengering pakaian. Ambil kesempatan cuaca panas untuk mengeringkan pakaian secara semula jadi dan tutup suis dan tanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta tidak membiarkan peralatan elektrik seperti kipas dibiarkan terpasang di dalam bilik yang kosong.

"Selain itu, jika gunakan alat pemanas air, kurangkan tempoh mandian dan untuk menggunakan seterika, himpunkan baju dan gosok sekali gus kerana ia lebih menjimatkan elektrik," katanya.

Bagi mereka yang menggunakan ketuhar elektrik, elakkan daripada kerap membuka pintu ketuhar ketika memasak bagi memastikan suhu ketuhar stabil dan memasak pelbagai hidangan serentak juga lebih menjimatkan.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah penggunaan tenaga yang berhemah dan bijak dengan melayari pautan https://www.mytnb.com.my.

Dalam pada itu, pengguna akan terus menikmati Diskaun Rangsangan Ekonomi sehingga 50 peratus untuk penggunaan elektrik bulanan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada lebih tujuh juta pengguna kediaman ini diteruskan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 3:38pm
    d