mutakhir

Pengawal keselamatan masjid tular didakwa hempas kucing minta maaf

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Pengawal keselamatan Masjid Taman Sri Muda dekat sini, yang tular dalam insiden penganiayaan kucing di kawasan masjid itu meminta maaf atas tindakannya.

Warga Bangladesh yang dikenali sebagai Zakir, 47, memaklumkan, dia tidak berniat untuk mencederakan kucing itu sebaliknya hanya bermain-main dengannya.

"Kejadian itu berlaku selepas solat Zohor, saya hanya main-main dengan cuba menakutkannya. Saya tidak sangka tindakan saya menimbulkan salah faham.

"Saya ambil kucing itu dekat pasar dan sudah tiga bulan saya membelanya, saya tidak mungkin menyakitinya dengan sengaja.

"Bagaimanapun, saya minta maaf kerana perbuatan saya menimbulkan salah faham," katanya dihubungi hari ini.

Difahamkan, Zakir sudah tiga tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan di masjid berkenaan.

Dalam pada itu, Nazir masjid, Harani Md Saad berkata, Zakir adalah pekerja yang baik dan amat sayangkan haiwan.

Katanya, setiap kali ada kucing liar datang ke masjid berkenaan, Zakir akan memberinya makan.

"Ini hanya salah faham, malah selepas video itu tular, saya mendapat panggilan daripada polis dan sudah membawa Zakir ke balai polis untuk diambil keterangan.

"Polis juga datang ke masjid untuk melihat kucing berkenaan dan mendapati ia baik-baik sahaja tanpa kecederaan," katanya.

Terdahulu, Presiden Animal Malaysia Arie Dwi Andika menerusi satu hantaran di Facebook memohon kerjasama orang ramai atau saksi untuk tampil memberi maklumat kepada polis berhubung insiden terbabit.

Turut dimuat naik dalam hantaran itu adalah rakaman video berdurasi 24 saat menunjukkan seorang lelaki mengusap seekor kucing sebelum mengangkatnya, seolah-olah mahu menghempasnya.

Berita berkaitan

  • Si Oren sihat, tidak dihempas
  • Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 5:34pm
    d