mutakhir

Rezeki penghantar makanan kembali rancak [METROTV]

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Rezeki penghantar makanan kembali rancak sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasa bermula 14 Oktober lalu.

Tinjauan pada 10 pagi mendapati puluhan penghantar makanan sedang menunggu dan mengambil pesanan pelanggan di pusat beli-belah Sunway Putra Mall, di sini, hari ini.

Wartawan mendapati rata-rata penghantar makanan menunggu selama 10 hingga 20 minit sebelum mendapat pesanan baru daripada pelanggan.

Bagi penghantar makanan sepenuh masa, Siti Nur Ain Mohd Isa, 25, yang sudah dua tahun menyertai perkhidmatan e-hailing itu mengakui pesanan bertambah sejak PKPB dikuat kuasa.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) saya akui agak sukar 'rider' (penghantar makanan atau barangan) mendapatkan pesanan disebabkan orang ramai sudah mula bekerja di pejabat.

"Apabila lebih ramai pekerja mula bekerja dari rumah (BDR), rezeki saya kembali meningkat sehingga boleh mencecah RM1,000 setiap minggu iaitu lebih kurang sama seperti awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu," katanya.

Siti Nur Ain berkata, minimum pesanan yang diperolehnya setiap hari kini boleh mencecah 40 pesanan.

"Saya suka jadi 'rider' sebab lebih bebas dan tidak ada orang yang memberi tekanan kerja. Pendapatan sepenuhnya bergantung kepada tahap kerajinan kita sama ada kita mahu atau tidak saja.

"Saya sendiri bekerja dari 10 pagi hingga 10 malam supaya target minimum sehari 30 pesanan dapat dicapai," katanya.

Penghantar makanan separuh masa, Thaqif Iqbal Shamsuddin, 21, berkata, dia bersyukur perkhidmatan e-hailing masih lagi menjadi pilihan ramai.

"Semakin hari, semakin ramai yang menjadi penghantar makanan atau barangan. Walaupun begitu, Alhamdulillah setiap daripada kami masih dapat minimum 15 pesanan sehari.

"Saya sendiri baru tiga minggu dalam bidang ini tetapi boleh dapat 30 pesanan dalam sehari," katanya yang menukar kerjaya akibat perniagaan yang diusahakannya semakin merosot.

Sementara itu, pegawai khidmat pelanggan Petrosains, Ainaa Syafiqah Mohd Nor, 25, yang menjadi penghantar makanan secara separuh masa berkata, pesanan kembali meningkat sejak minggu lalu.

"Saya hanya buat perkhidmatan penghantaran makanan selama empat jam saja iaitu pada waktu kemuncak makan tengah hari atau waktu lapang.

"Bayaran daripada kerja ini, saya jadikan duit poket memandangkan gaji tetap yang kurang RM2,000 tidak cukup menanggung keperluan seharian saya dan keluarga," katanya yang sudah bekerja hampir setahun dalam perkhidmatan e-hailing.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 23, 2020 @ 5:54pm
    d