mutakhir

PM ingatkan pengurusan Covid-19 perlu berkesan

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Perdana Menteri hari ini menjalankan tugasnya seperti biasa selepas 24 jam Mesyuarat Kabinet Khas yang membawa kepada pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan Covid-19 secara sidang video seperti amalan sebelum ini.

Dalam sidang itu, beliau menekankan keperluan untuk mewujudkan Pelan Jangka Masa Sederhana-Panjang dengan lebih terperinci, demi memastikan kelangsungan hidup rakyat dan ekonomi negara.

Pelan itu juga untuk menangani keresahan rakyat menghadapi pandemik yang menyebabkan kebergantungan tinggi kepada kerajaan, katanya menerusi hantaran dimuat naik di Instagram dan Facebook (FB).

Muhyiddin mengakui senario menguruskan Covid-19 ketika ini sudah berubah dan mengajak semua ahli mesyuarat untuk lebih fokus dalam usaha memerangi itu dan mesti membuktikan pada tahap ini, Malaysia menang melawan Covid-19.

Beliau turut mengingatkan ahli mesyuarat supaya lebih teliti dalam membuat keputusan untuk menguruskan Covid-19 dengan lebih berkesan.

"Setiap keputusan yang dibuat mestilah difahami manfaat, risiko dan kesannya kepada kesihatan dan ekonomi rakyat," katanya.

Mesyuarat harian MKN itu sudah diadakan secara sidang video sejak 7 Oktober lalu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 3:10pm
    d