mutakhir

PKPD Asrama Tropicana tamat esok [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di Asrama Pekerja Tropicana, Petaling Jaya tidak dilanjutkan dan berakhir mengikut tempohnya, esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan itu dipersetujui dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

"Sehingga 23 Oktober, Kementerian Kesihatan telah membuat sebanyak 503 saringan di Asrama Pekerja Tropicana dan 23 kes positif direkodkan.

"Kesemuanya telah pun menerima rawatan di hospital manakala kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin wajib.

"Sehubungan itu, atas cadangan MKN Selangor dan nasihat MKN, sidang khas ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Asrama Pekerja Tropicana pada 25 Oktober seperti dijadualkan," katanya pada sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, lokaliti itu masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di seluruh Selangor.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 24, 2020 @ 4:55pm
    d