mutakhir

Agih lebih 100 bungkusan makanan di Kampung Halo

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Prihatin dengan nasib segelintir penduduk yang terputus bekalan makanan di beberapa kawasan lokaliti di sini, Pasukan Polis Marin (PPM) dengan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan bantuan.

Pegawai Pemerintah PPM Semporna Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, pihaknya mengambil inisiatif itu bagi meringankan beban penduduk setempat terutamanya mereka yang tinggal di perkampungan atas air.

"Baru-baru ini lebih 100 bungkusan bantuan makanan diagihkan kepada penduduk di Kampung Halo, dekat sini, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO tempatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas rakaman video tular membabitkan anggotanya yang menyantuni seorang lelaki Bajau Laut (Pala'uh) yang menaiki sampan bagi mendapatkan bantuan, beliau menjelaskan kejadian itu berlaku pada 10.30 pagi, 19 Oktober lalu.

"Ketika itu anggota kami sedang dalam tugas Rondaan Op Benteng Covid di kawasan berkenaan sebelum didatangi lelaki terbabit yang mengadukan kesusahan dihadapinya selain tiada mendapat bantuan bekalan makanan.

"Lelaki dikenali dengan nama Ladja itu juga memaklumkan sebanyak 27 buah rumah di kawasan itu (Kampung Halo) belum menerima sebarang bantuan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di daerah Semporna.

"Dia juga mendakwa penduduk di perkampungan atas air itu sangat mengharapkan kerajaan memberikan bantuan bekalan makanan agar mereka tidak perlu keluar mencari rezeki di laut," katanya.

Susulan itu, Mohamad berkata, kira-kira 4 petang hari sama, pihaknya bersama JKM dan ESSCOM mengiringi sebuah bot yang membawa bekalan bungkusan makanan ke kawasan penempatan atas air itu untuk diagihkan kepada penduduk.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Sabah bermula 13 Oktober sehingga esok.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media harian semalam, berkata kerajaan bersetuju melanjutkan PKPB di seluruh Sabah bermula 27 Oktober hingga 9 November depan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 4:47pm
    d