mutakhir

Raih RM87,000 kerana ingkar SOP

Oleh Melvin Joni

Kuching: Sejumlah RM87,000 kompaun dikumpul daripada seramai 87 individu dalam tempoh seminggu dari 19 Oktober lalu sehingga semalam susulan mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, kesalahan dilakukan ialah tidak mengamalkan penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan premis gagal menyediakan peralatan untuk sanitasi serta buku butiran pelanggan termasuk kod QR MySejahtera.

"Pemeriksaan dijalankan di sekitar bandar raya Kuching dan daripada 87 individu yang dikompaun, seramai 74 adalah lelaki manakala 13 orang wanita.

"Kesemua yang dikenakan kompaun ini merupakan warga tempatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 14 pemeriksaan yang dijalankan dalam tempoh berkenaan, 13 pemeriksaan mengeluarkan kompaun terhadap premis makanan dan minuman.

Katanya, kesalahan utama yang dikesan ialah tiada penjarakan fizikal di dalam premis terbabit.

"Terdapat juga sesetengah individu yang memberikan alasan bahawa mereka tidak diberitahu mengenai penjarakan fizikal di dalam premis oleh pengusaha premis.

"Tetapi ia bukan satu alasan dikecualikan daripada kompaun kerana kerajaan sentiasa memaklumkan setiap hari berkenaan SOP yang perlu dipatuhi dalam membendung rantaian penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 6:46pm
    d