mutakhir

PKPB di Nilai, PKPD di Putra Point [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Nilai, Negeri Sembilan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala kawasan Putra Point di daerah itu pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas hari ini mendengar pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung peningkatan kes positif Covid-19 dalam kalangan warga asing di kawasan itu.

Menurutnya, susulan itu kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di zon Nilai yang berkuat kuasa pada 28 Oktober sehingga 10 November.

"Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB adalah sama seperti diumumkan sebelum ini antaranya semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, aktiviti dan majlis sosial tidak dibenarkan.

"Begitu juga aktiviti di masjid dan surau tidak dibenarkan kecuali bagi laungan azan serta solat lima waktu dengan jumlah yang ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.

"Saya berharap pihak berkuasa agama negeri dapat mengumumkan segera SOP," katanya dalam sidang media hari ini.

Mengenai pelaksanaan PKPD di Putra Point, Ismail Sabri berkata, ia membabitkan dua lokaliti asrama pekerja yang dikesan menyumbang peningkatan kes positif di kawasan itu.

Beliau berkata, lokaliti berkenaan adalah di Jalan BBN 1/7B dan 1/7F serta Jalan BBN 1/2E.

"PKPD ini akan berkuat kuasa bermula 28 Oktober sehingga 10 November.

"Pelaksanaan PKPD itu bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari," katanya.

Katanya, SOP adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 26, 2020 @ 7:09pm
    d