mutakhir

3 kawasan dikenakan PKPD di Selangor, Sarawak [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Flat Sungai Emas (Jalan Sungai Emas 31 dan Jalan Sungai Emas 32) serta Plaza Hentian Kajang di Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 28 Oktober hingga 10 November ini.

Kampung Haji Baki di Kuching, Sarawak turut dikenakan PKPD yang akan bermula esok sehingga 9 November ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas hari ini mendengar pembentangan berhubung situasi semasa Covid-19 di Selangor dan mendapati ada peningkatan kes Covid-19 di Flat Sungai emas di Jalan Emas 31 dan Jalan Emas 32 di daerah Kuala Langat serta di Plaza Hentian Kajang di daerah Hulu Langat.

Beliau berkata, mengambil kira situasi semasa, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan dan penduduk diminta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, PKPD di Flat Sungai Emas membabitkan 1,300 penduduk manakala Plaza Hentian Kajang pula membabitkan 7,500 penduduk.

"Bagi PKPD di Kampung Haji Baki (di Kuching, Sarawak) pula, kerajaan Sarawak memohon PKPD berkenaan dilaksanakan secepat mungkin.

"PKPD ini akan membabitkan 4,191 penduduk. Kementerian Kesihatan Malasia (KKM) akan melakukan ujian saringan bersasar kepada penduduk di kawasan terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 5:21pm
    d