mutakhir

PKPD Penjara Reman Pulau Pinang disambung [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang disambung bermula 29 Oktober sehingga 11 November ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini masih terdapat kes positif dikesan dalam kalangan tahanan dan kakitangan penjara berkenaan.

"Sehubungan dengan itu, atas cadangan Majlis Keselematan Negara (MKN) Pulau Pinang dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di penjara berkenaan.

"Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Negeri Pulau Pinang yang akan berakhir 28 Oktober (esok)," katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sebanyak 273 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

Beliau berkata, daripada jumlah ini, 136 masih dalam siasatan, 35 kes didakwa di mahkamah dengan 21 didapati bersalah, 13 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran.

"Tindakan penguatkuasaan aktif sedang dijalankan pada masa ini berdasarkan laporan awam diterima," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 27, 2020 @ 5:26pm
    d