mutakhir

PKPD: Ramai warga asing lari

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kajang: Penghuni di Plaza Hentian Kajang, di sini, mendakwa ada segelintir individu yang menetap di kawasan berkenaan berpindah keluar dari rumah mereka kelmarin, dipercayai bagi mengelak sekatan pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di lokasi berkenaan.

Penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Sam, 40-an, berkata, jirannya yang juga warga asing keluar dari rumahnya selepas pengumuman perlaksanaan PKPD di kawasan berkenaan.

"Jiran saya terus keluar rumah selepas pengumuman itu. Saya difahamkan oleh komuniti di kawasan ini bahawa ramai pekerja warga asing yang berpindah keluar sebelum perlaksanaan PKPD.

"Bagi saya, tindakan itu (pindah keluar) adalah tidak wajar kerana tiada apa yang perlu dirisaukan memandangkan langkah ini (PKPD) adalah untuk kebaikan semua orang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, terdapat beberapa hantaran mendakwa ada segelintir penghuni di kawasan berkenaan melarikan diri sebaik pengumuman dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di lokasi berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaluddin dalam sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Serdang, semalam, memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk menahan individu yang keluar dari kawasan berkenaan sebelum perlaksanaan PKPD.

Sam berkata, penghuni di kawasan itu masih menunggu bantuan barang keperluan daripada agensi berkaitan.

"Pada hari pengumuman itu, saya meminta bantuan rakan untuk membeli sedikit barang keperluan di luar kawasan ini terutama makanan sebagai persediaan.

"Namun, saya risau barang keperluan itu tidak mencukupi sepanjang tempoh PKPD ini kerana kami masih belum menerima bantuan setakat tengah hari tadi," katanya.

Katanya, dia mengakui agak tertekan dengan perlaksanaan PKPD di rumah sewa yang didiaminya sejak lima tahun lalu kerana ia menjejaskan pendapatannya sebagai tukang paip.

"Saya berkerja sendiri dan disebabkan perlaksanaan PKPD di kawasan ini, saya tidak dapat keluar mencari rezeki.

"Saya harap pihak berkaitan dapat menyalurkan bantuan kepada penghuni di kawasan ini terutama dari segi barang keperluan bagi memastikan kelengkapan kami tidak terputus," katanya.

Mengulas mengenai saringan dilakukan terhadap penghuni di kawasan berkenaan, Sam memaklumkan dia serta rakan serumahnya sudah melakukan saringan jam 10 pagi tadi.

Tinjauan wartawan Harian di lokasi mendapati sepasukan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan terhadap penghuni kawasan berkenaan.

Difahamkan proses ujian saringan itu turut diadakan pada sesi petang bermula jam 2 petang membabitkan penghuni di Hentian Kajang 4 dalam kawasan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 4:35pm
    d