mutakhir

Melaka lengang

Oleh Hassan Omar

Melaka: Industri pelancongan di negeri ini menerima kesan ketara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang sejak beberapa minggu lalu.

Tinjauan di beberapa lokasi pelancongan popular di Bandar Hilir, di sini dan pantai peranginan Pantai Puteri, Tanjung Kling serta Pengkalan Balak di Masjid Tanah, mendapati lokasi berkenaan lengang berbanding keadaan sebelum PKPB dilaksanakan di Lembah Klang.

Ia menyebabkan peniaga di kawasan berkenaan merintih tetapi terpaksa menerima kenyataan penyusutan jumlah pengunjung akibat pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Tinjauan di Jonker Walk dan beberapa jalan utama di Bandar Hilir yang sebelum ini dipenuhi pelancong mendapati hari ini ia lengang berikutan kekurangan pelancong.

Di Pantai Puteri, kesesakan lalu lintas di Kampung Pengkalan Perigi, Pantai Jaring, Pantai Rombang dan Pantai Kundor berikutan pertambahan jumlah kenderaan sebelum ini, hari ini lengang, selain pantai itu turut sunyi daripada suara pengunjung.

Di pantai peranginan Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, keadaan yang sama berlaku akibat kemerosotan pengunjung, terutama dari Lembah Klang.

Pengusaha bot pisang, Amri Zul, 30, berkata perniagaannya mencatatkan penurunan perolehan sejak PKPB dilaksanakan di Lembah Klang beberapa minggu lalu.

"Pada setiap hujung minggu sebelum ini, pantai ini menerima peningkatan pengunjung, terutama dari Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya tetapi sejak PKPB dikuatkuasakan, jumlah pengunjung boleh dikira dengan jari," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis ketika mengulas mengenainya berkata, PKPB di Lembah Klang menjejaskan pemulihan industri pelancongan di negeri ini.

"Lalu lintas di Bandar Hilir dan kawasan pelancongan yang lain sekarang menjadi lengang, tidak seperti sebelum PKPB dilaksanakan di Lembah Klang.

"Pemain industri pelancongan mengeluh dan berasa beban akibat penyusutan perolehan dan mereka mencuba merendahkan harga, memperkenalkan pelbagai pakej menarik serta meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk menarik kehadiran pelancong," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap keadaan di Lembah Klang kembali pulih dan bagi memberi peluang kepada industri pelancongan kembali rancak, sekali gus menceriakan pengusaha industri pelancongan serta kerajaan negeri.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 11:17am
    d