mutakhir

Penuntut Malaysia di Taiwan dinasihatkan berhati-hati

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang ditemui mati di kawasan berhampiran Daerah Alian, Kaohsiung, Taiwan, Khamis lalu disahkan penuntut tahun tiga Universiti Christian Chang Jung di Tainan.

Kementerian Luar berkata, pihak berkuasa Taiwan sudah mengesahkan identitinya yang dilaporkan hilang pada 28 Oktober lalu.

Menurutnya, Kementerian Luar menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.

"Pihak Kementerian, melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei, sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada keluarga mangsa yang dijadualkan tiba di Taipei hari ini.

"Semua penuntut Malaysia yang sedang menuntut di Taiwan dinasihatkan supaya senantiasa berhati-hati, berwaspada dan menjaga keselamatan diri masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, penuntut Malaysia di Taiwan juga dinasihat mendaftarkan diri dengan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei.

Media sebelum ini melaporkan memetik laporan Badan Berita Pusat (CNA) Taiwan, mengenai penahanan seorang lelaki di Kaohsiung, pada malam Khamis kerana disyaki menyebabkan kematian penuntut, Irene Chung, 24, berasal dari Sibu itu.

Lelaki berkenaan dilaporkan mengaku mencekik mangsa hingga mati dengan tali panjang dan membuang mayatnya di pergunungan Kaohsiung.

Suspek dipercayai menculik gadis berkenaan selepas jam 8 malam Rabu lalu, iaitu kali terakhir dia dilihat masih hidup.

Berita berkaitan:

  • Penuntut dibunuh di Taiwan, keluarga mohon kerajaan pantau siasatan
  • Lelaki bunuh penuntut Malaysia ditahan
  • Disiarkan pada: November 1, 2020 @ 4:38pm
    d