mutakhir

Pengusaha pelancongan Tasik Kenyir rugi lebih RM1 juta

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Pengusaha pelancongan di Tasik Kenyir, Kuala Berang, di sini, kerugian melebihi RM1 juta, apabila tempahan rumah bot dan bot laju dibatalkan berikutan gelombang ketiga penularan Covid-19 sejak awal bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Makumat, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk mempromosikan pelancongan di tasik buatan manusia yang merudum susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang.

Menurutnya, kerajaan negeri akan merangka inisiatif dan menyusun strategi dalam usaha membantu industri pelancongan yang terjejas selepas berlakunya wabak pandemik Covid-19 di beberapa negeri di utara dan di Lembah Klang.

"Saya difahamkan, KETENGAH ada menyalurkan bantuan kewangan bagi meringankan bebanan terpaksa ditanggung pengusaha pelancongan termasuk kepada pengusaha rumah bot, bot laju dan peniaga selepas kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

"Kerajaan negeri mengakui bantuan bagi meringankan bebanan pengusaha pelancongan yang terjejas berikutan penularan gelombang ketiga Covid-19, belum disalurkan tetapi promosi pelbagai produk yang terdapat di tasik buatan manusia itu tetap dilakukan secara berterusan bertujuan menarik kedatangan pelancong," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Alor Limbat berkata demikian bagi mengulas keresahan 75 pengusaha pelancongan di tasik buatan manusia itu yang berdepan kerugian lebih RM1 juta susulan pembatalan tempahan rumah bot dan bot laju di saat akhir, sepanjang bulan ini.

Mengulas lanjut, Ariffin menjelaskan, kerajaan negeri dalam usaha untuk menarik pelabur dan pelancong tempatan dari Kelantan dan Pahang serta negeri yang tidak berisiko untuk ke Tasik Kenyir.

"Isu kemerosotan kedatangan pelancong ke negeri ini bukan hanya membabitkan pengusaha pelancong di Tasik Kenyir, tetapi turut menjejaskan sektor pelancongan lain termasuk sektor perhotelan.

"Pembatalan penginapan di saat akhir turut dialami pengusaha perhotelan susulan pengunjung dari beberapa negeri termasuk di Lembah Klang berikutan pelaksanaan PKPB," katanya.

Ketika mengulas jumlah kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir dalam tempoh tiga bulan sehingga September lalu, Ariffin mengesahkan, jumlah pengunjung ke tasik buatan manusia dan bermalam di atas rumah bot adalah seramai 33,192 orang.

"Tasik buatan manusia itu dikunjungi pelancong tempatan seramai 7,882 orang pada Julai, 13,687 (Ogos) dan 11,603 orang September lalu, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 1:25pm
    d