mutakhir

PKPD ILKKM: Kempas lengang, peniaga mengeluh [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pekan Kempas dan sekitarnya lengang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran dilaksanakan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Johor Bahru, sejak Jumaat lalu.

Tinjauan di kawasan Kempas dan sekitarnya mendapati beberapa kawasan tumpuan umum termasuk Pusat Perniagaan Baru Pasar Taman Dahlia yang sebelum ini dipenuhi orang awam, kini lengang berbanding kebiasaannya.

Peniaga di medan selera pusat perniagaan itu turut mengeluh apabila perniagaan makanan mereka semakin terjejas berikutan orang ramai bimbang untuk mengunjungi kawasan itu sejak Sabtu lalu.

Peniaga nasi campur, Hanita Hashim, 50, berkata sebelum ini kedatangan orang ramai agak menggalakkan selepas media melaporkan kewujudan klip audio palsu yang mengatakan 99 peratus kawasan Kempas adalah zon merah.

Namun, katanya, sebaik berita ILKKM Johor Bahru diarahkan menjalani PKPD sejak Jumaat dilaporkan, kunjungan orang ramai ke kawasan perniagaan di situ dan Kempas kembali merudum.

"Perniagaan nasi campur saya merosot sehingga 80 peratus apabila tiada pelanggan berani datang makan di sini, malah bermula 11 pagi, langsung tiada pelanggan sejak Sabtu lalu.

"Ia berbeza sebelum ini, ramai pelanggan dari kawasan luar termasuk Pasir Gudang, Kulai dan bandar raya akan datang terutama setiap hujung minggu bagi menikmati makanan dijual peniaga di sini.

"Kini, kami terpaksa mengharapkan penduduk sekitar dan peniaga serta pekerja di sekitar pasar ini sahaja," katanya ketika ditemui.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata PKPD terpaksa dilaksanakan di ILKKM Johor Bahru berikutan jumlah kes positif Covid-19 meningkat mendadak di kawasan institusi berkenaan.

Khamis lalu pula, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNK) mengumumkan daerah Johor Bahru bertukar zon merah berikutan kes jangkitan wabak itu meningkat kepada 45 kes.

Sementara itu, peniaga nasi lemak, Aishah Mohamed, 54, berkata, beliau dan pekerjanya reda dengan rezeki yang ditentukan apabila pelanggan mula berkurangan dengan drastik sejak Sabtu lalu.

"Jika dulu saya hanya akan menutup perniagaan gerai nasi lemak sehingga lewat petang kerana pelanggan tetap yang tidak putus-putus, namun kini belum 1 tengah hari, pelanggan sudah tiada.

"Namun saya bersyukur masih ada peniaga luar yang membeli nasi lemak saya secara tetap untuk dijual di kawasan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 2, 2020 @ 2:42pm
    d