mutakhir

Kantoi guna pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Hanya kerana mahu berjimat, peniaga tergamak menggunakan pencuci lantai sebagai cecair pembasmi kuman untuk kegunaan orang ramai di premisnya.

Bagaimanapun, tindakan peniaga itu dihidu polis yang menjalankan operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan( PKPP ) bersama agensi lain sekitar daerah ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol, Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, peniaga berkenaan dikenakan kompaun RM1,000 berikutan kesalahan itu.

Katanya, dalam operasi Ahad lalu, peniaga berkenaan mendakwa pencuci lantai berkenaan boleh menghapuskan kuman pada tangan selain murah.

"Perbuatannya itu pula menganiaya kesihatan orang lain kerana kandungan bahan pencuci lantai boleh mendatangkan masalah kepada manusia," katanya kepada NSTP.

Pihaknya turut mengeluarkan empat lagi kompaun kepada peniaga antaranya kesalahan tidak memakai pelitup muka, tiada daftar masuk pelanggan, tidak menyediakan buku daftar pelanggan dan tidak menghadkan pelanggan masuk ke dalam premis.

Mohd Hafiz berkata, polis akan terus mengadakan operasi pematuhan seluruh daerah bagi memastikan orang ramai termasuk peniaga mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya kegagalan mematuhi SOP akan menyebabkan mereka dikompaun tanpa sebarang amaran.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 10:28am
    d