mutakhir

PKPD Penjara Zon Utara, Zon Selangor tamat esok [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Zon Utara dan Zon Selangor bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPD itu membabitkan Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting Perak dan Penjara Tapah di Zon Utara.

Manakala penamatan PKPD Zon Selangor pula membabitkan Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.

"Saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga kini mendapati kes positif Covid-19 di penjara dan pusat tahanan berkenaan menunjukkan penurunan dan terkawal.

"Atas nasihat KKM, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Zon Utara dan Zon Selangor ini pada 4 November 2020 sepertimana yang disenaraikan.

"Bagaimanapun, bagi Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang, KKM melaporkan masih terdapat kes positif Covid-19 baharu sehingga 1 November 2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-231 dan hari ke-147 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sehubungan itu, katanya, sidang khas hari ini juga bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Seberang Perai dan Kuarters Perumahan Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang selama 14 hari lagi bermula 5 November sehingga 18 November ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 3, 2020 @ 6:39pm
    d