mutakhir

Surya teliti jaga ibunya - Ismail

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Saya sanggup hilang harta daripada kehilangannya, kalau nyawa boleh dbeli, saya sanggup berhabis harta untuk mendapatkan semula," kata Ismail Muda, 58.

Begitulah harapan tinggi bapa kepada Allahyarham Siti Nur Surya, 19, terhadap anak gadisnya untuk terus menjaga ibunya, Zaini Musa, 55, yang terlantar akibat kanser otak sejak dua tahun lalu.

Ismail berkata, Siti Nur Surya yang mesra dipanggil kakak adalah harapan tinggi keluarga untuk menjaga ibunya dengan sepenuh masa.

Katanya, adik-beradik arwah yang lain sudah berkeluarga menyebabkan masa untuk menjaga ibunya agak terhad.

Menurutnya, Siti Nur Surya juga menjaga ibunya dengan teliti dan setiap perkara yang dilakukan mengikut jadual waktu.

"Dia akan bagi ibunya makan, mandi, tukar lampin mengikut jadual waktu, malah dia tahu bagaimana untuk membuatkan ibunya tidak bosan walaupun terlantar atas katil.

"Dia tahu keadaan ibunya bagaimana dan melakukannya dengan penuh sabar. Saya percaya tidak semua orang boleh lakukan seperti yang dia buat," katanya ketika ditemui selepas lawatan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat di rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong di sini, hari ni.

Menurut Ismail, ketiadaan Siti Nur Surya menyebabkan dia buntu untuk mencari seseorang bagi menguruskan isterinya.

Katanya, dia akan berusaha mencari pembantu untuk menjaga isterinya tetapi perlu berhati-hati dalam perkara itu.

"Saya akan menggajikan seorang pembantu untuk menjaganya tetapi perlu buat keputusan betul dan boleh dipercayai.

"Bukannya saya perlukan seseorang yang sama sebagaimana arwah anak jaga tetapi sekurang-kurangnya ada yang menjaganya," katanya.

Ismail berkata, selepas kejadian menyayat hati menimpa Siti Nur Surya, dia mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal di rumah keluarganya di Kampung Beladau Kepong.

"Di sini, ramai saudara dan adik-beradik tinggal berjiran dan senang meminta bantuan apabila perlu," katanya.

Ismail mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang sudi menghulurkan bantuan pelbagai bentuk termasuk sokongan moral.

Dia juga mengucapkan terima kasih diatas kunjungan pendakwah bebas Ebit Lew ke rumahnya semalam.

Menurut Ismail, kehadiran pendakwah itu memberi ketenangan dan menguatkan semangatnya untuk menghadapi dugaan dan ujian Allah.

"Dia datang kira-kira 6 petang semalam. Saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan moral beliau dan ia memberi sedikit ketenangan kepada saya dan keluarga menghadapi dugaan dan ujian Allah yang berat ini," katanya.

Berita berkaitan

Video kenangan Surya undang pilu selebriti

Bunuh Surya: 'Semoga saing awak dapat balasan'

Bunuh Surya: Suspek dakwa berang diejek miskin, tidak cantik

Rakan sekolah Surya direman 7 hari [METROTV]

Polis tahan rakan sekolah Surya [METROTV]

Jaga diri pesan terakhir Siti Surya [METROTV]

'Saya ingat kakak kena karan'

Ibu terlantar sakit saksi anak perempuan dibunuh penyamun [METROTV]

Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 12:48pm
d