mutakhir

PKPB: Peniaga di Lembah Klang mohon dikaji semula

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya bagi perlu dikaji semula bagi menangani kemelut dihadapi lebih 80,000 peniaga dan penjaja yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, terdapat kira-kira 30,000 peniaga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala lebih 45,000 peniaga di Selangor.

Katanya, berikutan pelaksanaan PKPB ketika ini menyebabkan rata-rata peniaga begitu terkesan dan terpaksa menanggung kerugian.

"Kita sedia maklum, PKPB ini dilakukan bagi memutuskan rantaian Covid-19, tetapi tak ada orang datang ke kawasan pagar menyebabkan peniaga sangat tertekan terutama kedai makan kerana ramai yang bekerja dari rumah.

"Oleh itu, PKPB perlu dikaji semula terutama membabitkan waktu operasi perniagaan dan kerajaan tidak boleh 'pukul sama rata' untuk melaksanakan waktu operasi yang sama.

"Kami menyarankan agar PKPB dilaksanakan di kawasan yang betul-betul mempunyai bilangan kes yang tinggi seperti di Klang, Hulu Langat dan Petaling Jaya.

"Tolong jangan politikkan isu ini sehingga menyusahkan rakyat dan masyarakat peniaga serta penjaja," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, selain melanjutkan waktu operasi perniagaan, kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memberi sedikit bantuan 'one off' kepada peniaga terjejas supaya mereka dapat menampung kerugian jualan.

Selain itu, Rosli berkata, jika boleh kerajaan dapat menyalurkan geran bantuan kepada peniaga.

"Walaupun mereka ini dibenarkan berniaga, tetapi dengan ketiadaan pelanggan sudah pasti tidak ada keuntungan dapat dijana.

"Saya berpendapat kerajaan juga harus melanjutkan moratorium kepada enam bulan lagi agar meringankan beban rakyat berikutan di Malaysia terdapat lebih kurang dua juta peniaga kecil," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, yang sering menjadi tumpuan pengunjung dari pelbagai destinasi kini terus sepi.

Banyak kedai didapati tutup dan rata-rata kedai yang dibuka sunyi tanpa kehadiran pelanggan.

Pemilik kedai kelengkapan muslim CK Rahim, Abd Rahim Ismail, 61, turut meluahkan rasa sedih dengan situasi yang terjadi kerana PKPB kali ini apabila terpaksa berdepan dengan kerugian hampir 90 peratus.

"Saya mempunyai empat kedai di sini dan sebelum ini jualan boleh mencecah RM20,000 sehari, namun sekarang jualan hanya RM1,000 untuk empat kedai.

"Jalan TAR ini tumpuan orang luar terutama dari Selangor dan Putrajaya, tetapi bila PKPB dilaksanakan mereka tidak boleh ke sini untuk berbelanja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 6:07pm
    d