mutakhir

Bakul makanan buat penduduk dikuarantin

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Bayan Lepas: Bantuan dan sumbangan makanan akan terus disalurkan kepada penduduk yang menjalani kuarantin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim 12 Barat Daya, di sini, bermula esok.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, sumbangan bakul makanan berisi barangan dapur itu sudah disalurkan sejak minggu lalu ketika peningkatan kes di daerah terbabit.

Beliau berkata, sumbangan itu diberikan supaya penduduk terbabit dapat mengurangkan pergerakan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Bantuan diutamakan kepada pemakai gelang merah jambu yang menjalani kuarantin di rumah supaya tidak terputus bekalan makanan.

"Kami fokus bantuan ini kepada penduduk khususnya pekerja sektor perkilangan yang menjalani kuarantin di rumah dan tidak dapat bekerja," katanya kepada NSTP, hari ini.

Azrul Mahathir ditemui ketika menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada penduduk yang dikuarantin di empat perumahan iaitu Flat Idaman Seroja, Idaman Selasih, Bayu Nyaman dan Mutiara Perdana.

Beliau berkata, seramai 100 peniaga pasar malam di kawasan terjejas bakal menerima bantuan khas Covid-19.

Katanya, bantuan itu terbuka kepada peniaga yang mendaftar sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas.

"Bantuan khas itu turut membabitkan kerjasama Persatuan Peniaga-Peniaga Melayu Pasar Malam Pulau Pinang yang dilakukan secara dalam talian.

"Kami memperuntukkan RM25,000 bagi bantuan bakul makanan kepada peniaga pasar malam yang terjejas," katanya.

Pasar malam Sungai Batu antara diarahkan ditutup sementara sehingga diberitahu kelak berikutan kes positif Covid-19 di daerah itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 5, 2020 @ 11:54pm
    d