mutakhir

Penduduk Mukim Rasau terima bakul makanan

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri akan mengagihkan bakul makanan bagi membantu penduduk di Mukim Rasau, Dungun, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), berkuatkuasa esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sebanyak 1,500 bakul makanan akan diagihkan kepada Ketua Isi Keluarga (KIK) yang tinggal di Mukim Rasau.

Katanya, kerajaan negeri sudah melakukan tindakan awal apabila mula mengagihkan bakul makanan kepada penduduk di Mukim Rasau secara berperingkat sejak Ahad lalu.

"Pengagihan bakul makanan kepada penduduk di beberapa kampung di mukim itu sudah dilakukan selepas kerajaan menerima laporan mengenai berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 awal minggu lalu.

"Perbincangan kaedah pengagihan bakul makanan kepada penduduk dengan beberapa agensi kerajaan termasuk wakil rakyat di kawasan itu sedang dilakukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Mukim Rasau di Dungun, antara tiga mukim yang akan dikuatkuasakan PKPB, berkuatkuasa esok hingga 20 November ini.

Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Chukai berkata, jumlah keseluruhan kes aktif di mukim Rasau, Dungun, adalah sebanyak 26 kes menyebabkan kerajaan terpaksa mengumumkan PKPB membabitkan jumlah keseluruhan penduduk seramai 43,687 orang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 2:23pm
    d