mutakhir

Siasatan kes polis peras orang awam sudah lengkap

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Kertas siasatan berhubung kes enam anggota Balai Polis Serdang disyaki terbabit dalam kegiatan pemerasan terhadap orang awam di sekitar kawasan The Mines dan Balakong di sini, 28 Oktober lalu, akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya, minggu depan.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, kertas siasatan kes itu sudah dilengkapkan.

"Ia akan diserahkan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor minggu ini.

"Sebaik selesai di peringkat itu, ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, minggu depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di sekatan jalan raya (SJR) Operasi Covid-19 (Op Covid-19) di Plaza Tol Sungai Besi di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan patologi berhubung keputusan saringan awal air kencing terhadap seorang daripada suspek yang didapati positif sebelum ini.

"Setakat ini, keputusan patologi belum diperoleh dan hanya diketahui dalam masa beberapa bulan.

"Buat masa ini, semua anggota berkenaan ditugaskan di Bahagian Pentadbiran di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan tidak dibenarkan melakukan tugas operasi," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan enam anggota terdiri daripada konstabel, Koperal dan Lans Koperal ditahan dalam pemeriksaan mengejut oleh sepasukan polis dari Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman selepas menerima aduan daripada orang awam.

Difahamkan, mereka yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an berkenaan ditahan ketika melakukan pemeriksaan di Jalan Besar The Mines dan Balakong.

Berita berkaitan

Enam polis ditahan peras ugut orang awam

Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 6:00pm
d