mutakhir

SJR di sempadan negeri diperketatkan [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Sekatan Jalan Raya (SJR) akan diperketatkan di sempadan negeri selaras keputusan kerajaan memperluaskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk memperketatkan pergerakan rentas negeri yang sering disalahgunakan bagi tujuan bukan kecemasan.

Katanya, kerajaan memberikan kuasa kepada polis untuk memberikan kelulusan kepada mana-mana individu yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri.

"Bagaimanapun, kelulusan itu tertakluk kepada tujuan perjalanan, khususnya bagi situasi kecemasan, kesihatan dan kepentingan membabitkan keluarga.

"Ia ikut pertimbangan dan budi bicara polis, saya tidak tahu apa yang terjadi ketika permohonan dikemukakan. Mungkin alasan yang diberikan tidak memberikan gambaran sebenar," katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas permohonan rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan penting, Ismail Sabri meminta orang ramai supaya memuat turun dan mencetak borang daripada Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, beliau mengumumkan semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang dikenakan PKPB selama empat minggu bermula 9 November hingga 6 Disember depan.

Negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu malah turut meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 6:30pm
    d