mutakhir

PKPB di seluruh Terengganu

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Rakyat seluruh Terengganu digesa sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negeri (MKN).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat gesaan itu susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri selama empat minggu berkuat kuasa Isnin ini.

Bagaimanapun, jelasnya, garis panduan SOP ditetapkan adalah berdasarkan arahan sedia ada MKN seperti diumumkan namun ia akan dikemas kini berdasarkan situasi semasa.

"Rakyat dinasihati untuk terus mematuhi arahan dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini yang akan dikeluarkan kerajaan negeri dan MKN," katanya pada kenyataan di Facebook (FB) beliau hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB diperluaskan ke tujuh lagi negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan selama empat minggu, mulai Isnin ini hingga 6 Disember ini.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, pelaksanaan PKPB dibuat selepas berlakunya peningkatan kes Covid-19 di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Sementara itu, berdasarkan situasi terkini Covid-19 dikeluarkan bilik gerakan Jabatan Kesihatan negeri (JKNT), tiga kes baru dikesan menjadikan 50 kes aktif dilaporkan di seluruh negeri hari ini.

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus mengesahkan, jumlah keseluruhan kes aktif Covid-19 di seluruh negeri adalah 224 kes.

Menurut beliau, semua 50 kes aktif dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

"Jumlah keseluruhan kes aktif di Mukim Rasau, Dungun adalah 30 kes. Pengesanan serta saringan secara aktif dalam kalangan kontak rapat dan komuniti giat dijalankan terutama membabitkan kawasan Ketengah Jaya.

"Mukim Rasau diletakkan di bawah PKPB selama dua minggu berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini," katanya pada kenyataan di FB beliau.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 7, 2020 @ 8:16pm
    d