mutakhir

Institusi pendidikan Islam Johor tutup

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Sebanyak 969 institusi pendidikan Islam kerajaan dan swasta yang berdaftar di bawah Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ditutup mulai esok sehingga 17 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata, penutupan membabitkan sebuah Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH); Tadika Agama Johor (195); Sekolah Agama Kerajaan Johor (571); Sekolah Menengah Agama Johor (dua); Maahad Tahfiz Johor (satu); Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Rendah (8) Dan SABK Menengah (20).

Menurutnya, lima Sekolah Rendah Agama Rakyat; Sekolah Rendah Agama Swasta (31); Sekolah Menengah Agama Swasta (9); Madrasah Tahfiz Swasta (109); Madrasah Pondok Swasta (13) dan empat Madrasah Malabar Johor turut ditutup.

"Bagi murid yang tinggal di asrama, ibu bapa atau penjaga perlu mengambil mereka untuk pulang ke rumah masing-masing.

"Bagaimanapun, murid boleh terus kekal di asrama sementara menunggu mereka dijemput selewat-lewatnya pada 10 November (Selasa) sebelum 5 petang.

"Sepanjang tempoh penutupan, pengajaran dan pembelajaran tetap diteruskan secara 'home-based learning' mengikut kesesuaian guru serta murid.

"Bagi calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan dimaklumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai sebarang perubahan dan perkembangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tosrin berkata, peperiksaan yang dikendalikan Bahagian Pendidikan Islam JAINJ seperti Peperiksaan Ujian Kelayakan Darjah Khas (UKDK), Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) dan Sijil Menengah Agama (SMA) ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, takwim penggal persekolahan dan cuti persekolahan bagi 2021 akan diselaraskan semula oleh Bahagian Pendidikan Islam JAINJ.

"Kakitangan awam yang berkhidmat sama ada di Bahagian Pendidikan Islam JAINJ, Pejabat Pendidikan Islam Daerah dan di Institusi Pendidikan Islam yang berkaitan hendaklah merujuk surat yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

"Ketetapan ini juga terpakai di semua institusi pendidikan Islam swasta yang sedang di dalam proses pendaftaran.

"Bagi institusi pendidikan Islam yang tidak berdaftar adalah tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 5:59pm
    d