mutakhir

Polis Johor kawal ketat sempadan negeri [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pintu keluar masuk ke negeri ini dikawal ketat dengan sekatan jalan raya (SJR) bermula 12.01 tengah malam tadi di semua lokasi strategik sempadan negeri.

Tinjauan di Plaza Tol Skudai yang antara laluan utama keluar dan masuk ke daerah ini pagi tadi mendapati setiap kenderaan yang ingin meneruskan perjalanan ke pusat bandar diperiksa dengan rapi.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat turut bertanya pemandu tujuan selain meminta surat atau dokumen berkaitan.

Jurucakap polis berkata, keadaan di SJR Plaza Tol Skudai terkawal dengan orang ramai memahami dan sedar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bermula hari ini sehingga 6 Disember depan.

"Selain memantau jumlah penumpang dalam setiap kenderaan, kami juga menasihatkan supaya tiada cubaan merentas negeri dibuat supaya mereka tidak dikompaun dan diarah berpatah balik semula ketika sampai di sempadan Johor nanti.

"Kebanyakan pengguna jalan raya yang diperiksa menyatakan sama ada ingin pergi bekerja, ada temujanji di hospital selain mahu membeli barangan keperluan.

"Kami jangkakan peningkatan pengguna setiap kali waktu puncak bekerja dan balik kerja, setiap hujung minggu selain menjelang perayaan Deepavali nanti dan sudah membuat persediaan sewajarnya termasuk melaksanakan lorong lebih banyak," katanya.

Semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan PKPB bermula hari ini hingga 6 Disember depan.

Langkah itu diputuskan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelmarin selepas mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung kes Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 1:05pm
    d