mutakhir

20 kenderaan diarah patah balik

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Kangar: Sebanyak 20 kenderaan diarah untuk berpatah balik selepas cuba masuk ke Perlis tanpa memiliki permit kebenaran untuk merentas negeri dari negeri yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai hari ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, setakat 5 petang tadi, kesemua kenderaan berkenaan diarah berpatah balik ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Sanglang dan Arau dari Kedah.

"Sebanyak 125 kenderaan diperiksa sejak pagi tadi dengan membabitkan 294 individu yang cuba masuk ke negeri ini atas pelbagai alasan dan urusan.

"Sehubungan itu, pihak polis meminta agar mereka yang perlu merentas negeri untuk medapatkan permit kebenaran agar mereka tidak menghadapi kesulitan terutama membabitkan urusan penting khususnya urusan pekerjaan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Mengulas mengenai penguat kuasaan SJR, Surina berkata, pihaknya menumpukan kawalan sempadan negeri ini berikutan pelaksanaan PKPB tidak dilaksanakan di Perlis.

"Malah, jumlah SJR turut ditambah dengan membabitkan tiga SJR di kawasan berhampiran sempadan negara di Perlis.

"Setakat ini, terdapat enam SJR pada hari pertama pelaksanaan PKPB yang membabitkan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 7:26pm
    d