mutakhir

Melaka tetapkan 30 perkara sepanjang PKPB

Oleh Amir Mamat

Melaka: Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Khas Covid-19 menetapkan 30 perkara yang perlu dipatuhi rakyat di negeri ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu bermula semalam.

Menerusi pekeliling yang diedarkan kepada semua jabatan serta agensi Kerajaan Pusat dan negeri, lewat malam tadi, jawatankuasa itu mahu semua arahan serta peraturan berkenaan dipatuhi dan setiap perubahan atau pindaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Keputusan jawatankuasa khas berkenaan adalah seperti berikut:

*Hanya dua orang yang dibenarkan keluar (termasuk dalam kenderaan) sebagai wakil daripada isi rumah untuk tujuan membeli atau mendapat bekalan makanan, sama ada di restoran, kedai makan, gerai, pasar raya atau kedai runcit bagi mendapatkan bekalan asas keperluan, manakala individu berisiko tinggi dan kanak-kanak tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak.

*Kenderaan yang membawa barangan dan perkhidmatan perlu serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri adalah dibenarkan keluar masuk dengan bilangan individu yang dibenarkan berada dalam kenderaan itu bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan perdagangan.

*Pergerakan kenderaan persendirian, jabatan kerajaan atau syarikat swasta bagi tujuan pergi dan balik dari tempat kerja atau menjalankan urusan rasmi kerajaan adalah bergantung kepada kapasiti tempat duduk kenderaan yang dinaiki.

*Aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan adalah dibenarkan beroperasi.

*Bagi pergerakan udara melalui lapangan terbang, individu perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dulu.

*Perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas henti-henti, bas ekspres, teksi dan perkhidmatan e-Hailing dibenarkan, manakala individu yang menggunakan pengangkutan awam bagi tujuan rentas negeri atau daerah selain tujuan ke tempat kerja, perlu mendapatkan kebenaran PDRM.

*Perkhidmatan teksi atau e-Hailing ditetapkan hanya dua penumpang dan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam sepanjang tempoh PKPB.

*Kes kecemasan dan kemalangan yang memerlukan rawatan di hospital atau klinik dibenarkan bergerak mengikut kapasiti kebenaran tanpa perlu mendapatkan kebenaran PDRM.

*Kes temu janji perubatan adalah dibenarkan bergerak mengikut kapasiti kenderaan hanya dengan menunjukkan surat atau kad temu janji.

*Bagi kes pengurusan jenazah di luar kawasan PKPB adalah dibenarkan dengan perlu mendapatkan kebenaran daripada PDRM dan jumlah penumpang dalam kenderaan mengikut kapasiti penuh.

*Mana-mana individu yang berasal dari kawasan PKPB dibenarkan untuk pulang ke kawasan terbabit dengan perlu mendapatkan kebenaran PDRM.

*Bagi aktiviti pekerjaan, pergerakan keluar masuk merentas kawasan PKPB adalah tidak dibenarkan. Hanya pekerja yang mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan pemohon dibenarkan untuk tujuan bekerja dan menjalankan tugas.

*Kenderaan yang membawa pekerja termasuk kenderaan persendirian adalah dibenarkan beroperasi dengan pematuhan SOP dan kapasiti penuh.

*Aktiviti sektor ekonomi dan industri di kawasan PKPB berjalan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan dengan pematuhan SOP yang sudah ditetapkan.

*Semua kenderaan berkaitan industri, perniagaan dan perkilangan dibenarkan beroperasi termasuk merentas daerah dan negeri.

*Sektor perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan semua yang berkaitan dengan rantaian makanan adalah dibenarkan beroperasi.

*Aktiviti kelab malam atau pub, taman tema, taman permainan dalaman dan panggung wayang, tidak dibenarkan.

*Aktiviti konsert atau acara langsung dengan kehadiran penonton, tidak dibenarkan.

*Semua seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah, pameran dan aktiviti berkaitan dengan Meeting, Incentives, Conventions and Exhibitions (MICE), tidak dibenarkan, kecuali latihan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 5:02pm
    d