mutakhir

Mohon sekolah di zon selamat dibuka [METROTV]

Oleh Samadi Ahmad

Cyberjaya: Persatuan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan sekolah swasta menggesa kerajaan mengkaji semula arahan penutupan sesi persekolahan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Raudhah City, Mohd Fadzli Hashim berkata, ia berikutan ramai pengusaha berdepan kerugian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Beliau yang mewakili persatuan itu berkata, kira-kira 5,000 pengusaha berhadapan kerugian akibat sekolah tidak dapat beroperasi bermula Mac sehingga Jun lalu.

Katanya, pihak sekolah menanggung kerugian kerana tiada sumber kewangan dan hanya bergantung kepada yuran persekolahan pelajar sehingga sukar untuk membayar bil, gaji guru serta sewa premis.

"Kami memohon kepada kerajaan untuk mengkaji semula penutupan pra-sekolah sehingga hujung tahun ini serta memberi keutamaan untuk penutupan sekolah di zon merah sahaja," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin mengumumkan penutupan sekolah di seluruh negara bermula 9 November hingga 18 Disember ini termasuk di Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak yang tidak dikenakan PKPB.

Penutupan sekolah dan sektor pendidikan itu membabitkan pelbagai pihak berkepentingan serta kira-kira lima juta murid dan pelajar serta lebih 500,000 guru serta pensyarah.

Mohd Fadzil berkata, pihaknya memohon kepada kerajaan agar membenarkan sekolah yang berada di zon selamat meneruskan operasi mengikut prosedur operasi standard.

Katanya, arahan penutupan sekolah turut menimbulkan masalah kepada ibu bapa yang bekerja.

"Satu memorandum akan dihantar kepada Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin esok (hari ini) bagi penelitian perkara berkenaan agar dapat dikaji semula," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 6:16pm
    d