mutakhir

Pertumbuhan ekonomi dijangka pulih 2021 [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Belanjawan 2021 adalah langkah memacu pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Arthur Joseph Kurup berkata, belanjawan inklusif dan komprehensif berjumlah RM322.5 bilion adalah tertinggi dalam sejarah negara.

"Untuk makluman, pandemik Covid-19 menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menguncup pada kadar negatif 8.3 peratus bagi separuh pertama tahun ini.

"Semua sektor utama ekonomi terjejas terutama dalam sektor perkhidmatan (negatif 6.7 peratus), pembuatan (negatif 8.7 peratus) dan pembinaan (negatif 25.9 peratus).

"Penyusutan pertumbuhan ini antaranya disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bagaimanapun, kesan negatif ke atas pertumbuhan ekonomi pada tahun ini adalah bersifat sementara dan dijangka pulih pada 2021," katanya ketika sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Su Keong Siong (DAP-Kampar) yang bertanya kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 dan inisiatif diambil untuk menggalakkan pemulihan ekonomi tempatan dalam keadaan ekonomi mencabar ketika ini.

Arthur berkata, antara inisiatif yang diambil kerajaan untuk menggalakkan pemulihan ekonomi adalah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) pada 11 Mac lalu.

Menurutnya, EAC yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memantau impak penularan wabak ke atas ekonomi dan merangka langkah untuk memulihkan serta merancakkan semula ekonomi negara.

Katanya, kerajaan juga melaksanakan beberapa pakej ransangan ekonomi antaranya Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin atau KITA PRIHATIN.

"Pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion atau kira-kira 20 peratus kepada KDNK adalah antara pakej rangsangan yang terbesar dalam kalangan negara membangun.

"Langkah yang diambil berjaya meringankan beban rakyat, mengekalkan pekerjaan dan menggerakkan semula aktiviti ekonomi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 2:10pm
    d