mutakhir

Dewan Rakyat kecoh, isu hina KP Kesihatan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: RSN Rayer (PH-Jelutong) diarah keluar daripada sidang Dewan Rakyat selepas dengan sengaja menimbulkan kekecohan, hari ini.

Keputusan itu dibuat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meminta Rayer duduk ketika sesi perbahasan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) berkaitan usaha memerangi pandemik Covid-19 di kawasan Sabah dan Sarawak.

"Yang Berhormat (YB) semua duduk... tolong duduk Jelutong, macam mana saya nak buat keputusan jika kamu berdiri, tolong duduk, tolong duduk, tolong duduk!

"Jelutong, saya beri amaran jika tidak duduk kamu keluar. Kamu enggan duduk, bentara keluarkan Jelutong," katanya ketika perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2021.

Terdahulu, episod kekecohan berkenaan bermula apabila King Sing menuduh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah takut mati.

"DG (Ketua Pengarah Kesihatan) hari-hari buat berita, bagi 'Office Boy' (budak pejabat) boleh baca. Kenapa dia tidak turun padang... Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik Covid-19.

"Kenapa dia tidak melawat setiap hospital, berbincang dan beri sokongan kepada frontliners. Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang (mereka) tidak takut mati, tapi DG takut mati," katanya.

Rayer yang tidak berpuas hati dengan kenyataan berkenaan meminta King Sing menarik balik kenyataannya serta menyifatkan Dr Noor Hisham perlu dihormati sebagai barisan hadapan menangani Covid-19 di negara.

"Saya minta Bintulu tarik balik kenyataan DG takut mati. Saya tak akan benarkan dia hentam DG. DG adalah petugas barisan hadapan.

"Jangan kurang ajar Bintulu. Tarik balik minta maaf. Mana boleh hentam DG," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 2:49pm
    d