mutakhir

Peniaga Bandar Baru Salak Tinggi 'mangsa' Covid-19

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Ibarat 'padang jarak padang terkukur' apabila kawasan Pusat perniagaan 23, Majlis Perbandaran Sepang di Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan lengang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Di Perketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi.

Tinjauan wartawan di kawasan berkenaan tadi mendapati tidak ramai pelanggan mengunjungi kedai runcit dan restoran yang dibuka di kawasan itu berbanding sebelum PKPD.

Pengusaha restoran, Surati Abu Bakar ,59, berkata, hasil jualannya semalam amat merosot berbanding semalam.

"Jika sebelum ini hasil jualan harian mampu mencecah RM2,000 sehari, namun jumlah jualan hari ini merosot lebih separuh," katanya.

Menurutnya, kemerosotan hasil jualan itu disebabkan orang ramai takut untuk keluar ke lokasi awam termasuk kawasan ini yang dikenakan PKPD.

"Penularan virus Covid-19 memberi kesan terhadap jumlah pendapatan peniaga kerana rata-rata pelanggan kami adalah penduduk taman di sekitar kawasan ini," katanya.

Menurutnya, lebih 5,000 penduduk tinggal berhampiran kawasan ini membabitkan beberapa taman perumahan terdiri dari Taman Anggerik, Taman Selasih, Taman Cempaka dan kuarters Majlis Daerah Sepang.

Premis perniagaan di BBST itu dikenakan PKPD bermula tengah malam tadi, selepas dua individu disahkan positif Covid-19 pada 4 Oktober lalu, manakala 40 lagi positif selepas saringan diadakan sehingga 5 November.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, bantuan makanan sudah mula diedarkan kepada penghuni di kawasan itu bermula semalam di bawah Projek Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang.

"Penduduk yang memerlukan bantuan boleh datang secara terus dan berhubung dengan pusat operasi disediakan berhampiran pusat perniagaan berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 5:15pm
    d