mutakhir

2 kawasan PKPD di Pulau Pinang, Sabah ditamatkan [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman, Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang dan Pangsapuri Mutiara Kasih serta Taman Khazanah Indah, Lahad Datu, Sabah ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman 15 Oktober sehingga 28 Oktober yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga 11 November.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan sebanyak 1,178 saringan dan 189 kes positif Covid-19 direkodkan di kawasan penjara ini.

"Penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM mendapati situasi kes Covid-19 di penjara ini menunjukkan trend penurunan.

"Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilaksanakan, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah, Lahad Datu, Sabah bermula 13 Oktober sehingga 26 Oktober 2020 dan kemudian dilanjutkan lagi bermula 27 Oktober sehingga 9 November dan sekali lagi dilanjutkan 9 November hingga 23 November.

"Bagaimanapun, sehingga 10 November, KKM mendapati semua keputusan 5,189 sampel saringan kedua diperoleh dengan kesemuanya adalah negatif.

"KKM juga mendapati tiada lagi kes baharu positif Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini dalam masa 18 hari terkini. Atas nasihat dan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di kawasan berkenaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 6:20pm
    d