mutakhir

'Tamat PKPD, macam nak raya...'

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Alhamdulillah syukur, rasa seronok dan gembira macam hendak sambut hari raya." Demikian perasaan Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh Ismail sebaik Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang, diisytihar tamat, malam tadi.

Mohamed Jusoh berkata, dia berasa bersyukur kerana semuanya berjalan dengan baik sepanjang menangani Kluster Penjara Reman.

"Juga diadakan bacaan doa, takbir dan lagu semangat oleh semua yang terbabit termasuk keluarga kakitangan.

"Keadaan dalam penjara sekarang adalah terkawal dan masih ada kira-kira tiga banduan lagi yang menjalani rawatan (Covid-19)," katanya di sini, semalam.

Kesempatan itu, Mohamed Jusoh turut mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang terbabit sepanjang PKPD.

"Terima kasih juga kepada semua pihak yang membantu termasuk yang menyalurkan sumbangan sepanjang tempoh ini, " katanya lagi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Penjara Reman Pulau Pinang antara 15 Oktober sehingga 28 Oktober yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga semalam.

PKPD itu membabitkan penutupan jalan dan sekatan jalan raya di tiga laluan dengan radius sejauh 1.68 kilometer.

Ia juga membabitkan seramai 2,298 banduan selain tujuh blok kuarters kakitangan dan lapan unit rumah pegawai dengan jumlah sebanyak 610 orang.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 9:14am
    d