mutakhir

155 kes tuntutan palsu, salah guna dana PSU dikesan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sebanyak 155 kes tuntutan palsu dan salah guna dana Program Subsidi Upah (PSU) oleh majikan dikenal pasti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, bayaran kepada majikan terbabit akan digantung buat sementara sehingga siasatan selesai.

"Selain itu, PERKESO juga menuntut kembali bayaran daripada majikan yang menyalah guna PSU.

"Dalam menangani masalah tuntutan palsu, PERKESO bekerjasama dengan Bahagian Perundangan Kementerian Sumber Manusia bagi mengenal pasti tindakan undang-undang boleh diambil ke atas majikan yang tidak mematuhi syarat ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai jumlah tuntutan palsu bagi PSU ketika sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Awang berkata, PERKESO menerima 331,950 permohonan majikan membabitkan 2.7 juta pekerja.

Katanya, sebanyak RM11.9 bilion dimanfaatkan oleh majikan melalui PSU.

"Berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) sehingga 30 Oktober lalu, PERKESO menerima sebanyak 345 kes aduan terhadap majikan mengenai bayaran di bawah PSU membabitkan jumlah RM19,986,200.

"Daripada keseluruhan aduan, sebanyak 190 aduan masih dalam proses siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut dari pengadu," katanya.

Menurutnya, PEREKSO juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa kes masih dalam tindakan siasatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 2:15pm
    d