mutakhir

Susah sangat ke nak pakai pelitup muka [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Masih ramai yang degil apabila enggan memakai pelitup muka di lokasi awam. Ini terbukti apabila seramai 101 individu melakukan kesalahan itu ditahan semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan, seramai 431 individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, 17 orang daripada mereka ditahan reman dan seorang diikat jamin.

"Seramai 78 individu didapati gagal menyediakan peralatan merekod, gagal patuh arahan penjarakan fizikal (72) dan aktiviti pusat hiburan (42).

"Selain itu, 40 individu ditahan susulan premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran serta 98 individu atas lain-lain kesalahan," katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkat, seramai 31 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan menerusi Ops Benteng dengan seorang tekong darat diberkas dan empat kenderaan dirampas.

"Kami menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berhubung kehadiran pendatang asing ini dengan menghubungi pihak berkuasa melalui talian 011-62511223," katanya.

Operasi pematuhan terhadap perintah berkenaan turut melakukan 253 sekatan jalan raya di seluruh negara.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 6:04pm
    d